FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Thursday 4 October 2012

Keanggotaan Rela Di Felda Bertambah

BESUT 25 Sept. - Keanggotaan Rela di kawasan Felda di negeri ini dijangka dapat ditingkatkan berikutan komitmen tinggi daripada pengurusan Felda yang menyediakan kemudahan kepada pasukan sukarela itu.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, di negeri ini menyediakan Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR) bagi kemudahan menggerakkan pelbagai perancangan.

Katanya, setakat ini sebanyak 14 buah PKKR telah disiapkan di 14 kawasan Felda di negeri ini dan tujuh lagi dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, ia membuktikan Rela kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak untuk bersama-sama menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat.

''Daripada 21 kawasan Felda di Terengganu kini seramai 5,934 penerola dan penduduk sekitar telah menganggotai pasukan sukarelawan itu,'' katanya.

Mustafa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan PKKR di Felda Selasih dekat sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani dan Pengarah Rela Terengganu, Ahmad Abdul Wahab.

Mustafa berkata, daripada keseluruhan kawasan rancangan Felda di seluruh negara kini, terdapat 75,000 ahli Rela yang kebanyakannya merupakan peneroka selain penduduk kawasan berhampiran.

Menurut beliau, kebajikan keseluruhan 2.8 juta anggota Rela yang banyak membantu kerajaan menjaga keamanan kini lebih terjamin apabila mereka mendapat kemudahan elaun serta mendapat perlindungan insurans.

Sementara itu beliau berkata, ada di antara anggota Rela kini mampu memperoleh sebanyak kira-kira RM1,200 sebulan apabila menjalankan tugas yang diarahkan.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment