FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Saturday 1 September 2012

Lagi Durian Runtuh Untuk Felda


SERDANG - Peneroka yang berhutang dengan bank untuk membeli 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) tidak perlu lagi membayar kepada bank mulai bulan depan apabila hutang mereka diambil alih Felda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, peruntukan RM360 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membiayai pembelian unit saham itu kelmarin akan digunakan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat oleh peneroka kepada 10 konsortium bank.

"Jadi, daripada bayar kepada bank yang ada faedah lima peratus setahun, peneroka akan bayar kepada Felda tanpa faedah dalam tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan," katanya selepas menutup Kem Anak Muda Generasi Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia di sini semalam.

Najib kelmarin mengumumkan Felda memperuntukkan RM360.7 juta untuk membiayai sepenuhnya 800 unit saham yang diberi kepada setiap peneroka bagi meringankan beban mereka dalam pemilikan saham itu.

Ahmad berkata, peralihan itu akan dilakukan secara automatik dan pembayaran balik kepada Felda boleh dilakukan dengan potongan pendapatan di mana ia bakal memberi keuntungan lebih kepada peneroka apabila mereka tidak dikenakan faedah pinjaman.

Beliau berkata, dengan itu, pihak peneroka juga dapat melakukan urusniaga saham bila-bila masa tanpa sebarang syarat dan ia juga dapat mengelakkan 'jualan paksa' di mana jika mereka berhutang dan masih belum melunaskan bayaran penuh kepada bank selepas enam bulan, mereka perlu menjual saham itu sekali gus merugikan sekiranya harga saham pada masa itu rendah.

"Kita tidak beri (pinjaman ini) sebelum ini sebab kita tidak jangka berapa keuntungan yang kita dapat tetapi akhirnya kita dapat RM10 bilion, RM6 bilion untuk Felda dan RM4 bilion untuk FGV, jadi kita ada dana lebihan untuk bantu lagi peneroka," katanya.

Sementara itu, Ahmad turut menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya pemilikan peneroka terhadap saham FGV terlalu sedikit malah Felda dan peneroka adalah pemegang utama saham FGV iaitu sebanyak 39.5 peratus.

Beliau berkata, 17 peratus saham adalah milik Felda dan 22.5 peratus lagi milik peneroka iaitu 2.5 peratus daripada pemilikan 800 unit saham dan 20 peratus melalui tabung amanah.


Sumber : Bernama


No comments:

Post a Comment