FELDA FM. Powered by Blogger.

Radio Internet FELDA FM

Saturday 18 February 2012

Masyarakat FELDA perlu lakukan transformasi


KUBANG PASU 5 Feb. - Masyarakat Felda terutama generasi baru perlu mempersiapkan diri untuk melakukan transformasi bagi memastikan tanah rancangan itu terus relevan dengan arus globalisasi yang sangat mendesak terhadap ilmu pengetahuan serta aktiviti ekonomi berimpak tinggi.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad berkata, sehubungan itu hubungan akrab antara golongan peneroka dan generasi baru harus diperkasa bagi mencapai hasrat negara agar Felda berjaya menjadi kawasan penjana ekonomi di kawasan luar bandar.

Katanya, langkah itu juga boleh dilakukan dengan mengekalkan sistem pengurusan kebun secara berkelompok selain mewujudkan aktiviti ekonomi yang lain sama ada dalam sektor pertanian, ternakan mahupun perkhidmatan.
"Untuk menjayakan usaha ini, masyarakat Felda harus memberi tumpuan yang serius terhadap pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

"Ini kerana pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar Felda semakin berleluasa dan harus kita banteras habis-habisan dan dengan bijaksana demi kelangsungan tanah rancangan ini," katanya pada majlis penutup Program Pemantapan Sahsiah dan Pendidikan Anak Felda Wilayah Alor Setar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.

Hadir sama pada program tiga hari yang disertai kira-kira 600 peserta itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid.

Pada program yang bertujuan memantapkan sahsiah dan akademik anak-anak Felda itu, mereka turut berkongsi pengalaman anak Felda bersama Presiden Alumni Asrama Felda Malaysia, Abdul Malek Jalil dan Pengarah Pusat Bahasa/Pensyarah Kanan Kolej Sains dan Sastera UUM, Dr. Siti Jamilah Bidin.

Faizoull berkata, dalam mengimbangi pelbagai bentuk cabaran alaf baru yang lebih getir dan mencabar, generasi muda perlu bersiap sedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negara.
Katanya, persediaan itu adalah dengan memastikan penetapan jati diri berterusan, berdaya saing dan mampu mengekang apa juga bentuk penjajahan baru.

Menurut beliau, sumbangan peratusan komposisi sehingga 70 peratus generasi Felda berusia 15 hingga 40 tahun amat menuntut satu mekanisme yang khusus dan teratur dapat digerakkan bagi memperkasa belia terutama di peringkat sekolah, institusi kemahiran dan pengajian tinggi awam atau swasta.

"Bertepatan dengan itu, pihak Felda tanpa ragu-ragu memperuntukkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi menggerakkan program yang menjurus kepada pendidikan dan pembangunan modal insan,'' katanya.
''Program yang menyentuh aspek pengukuhan nilai-nilai diri juga sama penting untuk dilaksanakan di peringkat awal," katanya.

Sumber : Utusan Online